Bekerja Sendiri Pun Ada Duit Pencen! Cara Mohon Skim i-Saraan KWSP 2020





Dalam mendepani dunia yang pesat membangun dan kos sara hidup yang mencabar, inisiatif kerja secara sambilan atau part-time bukanlah satu perkara yang asing bagi rakyat Malaysia. Trend ini sebenarnya bukan hanya berlaku di Malaysia saja, malah turut melanda pelbagai negara lain di serata dunia.

Perkembangan teknologi baru serta permintaan pasaran yang semakin meningkat juga telah menyebabkan ramai orang memilih untuk menjadikan pekerjaan secara sambilan ini sebagai pekerjaan tetap menerusi kaedah pekerjaan bebas atau dikenali sebagai ‘freelance’. Fenomena ini juga lebih dikenali sebagai ‘ekonomi gig’ di mana pasaran pekerjaan adalah berdasarkan kontrak jangka masa pendek dan bebas.

Caruman Sukarela Dengan Insentif Persaraan (i-Saraan)


Caruman Sukarela Dengan Insentif Persaraan (i-Saraan) adalah pelan caruman yang boleh anda lakukan walaupun anda tidak mempunyai pendapatan tetap. Anda juga berpeluang menerima caruman tambahan sebanyak 15% (maksimum RM250 / setahun) daripada kerajaan ke atas caruman anda.

Kelebihan i-Saraan

  • Simpanan kewangan kita akan bertambah baik biar pun kita bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap. Dengan bekerja sendiri, diharapkan simpanan yang ada dengan program i-Saraan ini mampu membantu kita apabila sudah tua kelak.
  • Kita juga tiada komitmen atau paksaan untuk menyimpan, dan kita boleh mencarum di KWSP mengikut amaun dan kemampuan sendiri. Selain daripada duit simpanan yang telah kita carumkan, kita juga boleh menikmati dividen tahunan ke atas simpanan persaraan kita tadi.
  • Kelebihan mencarum di i-Saraan, boleh dapat pengecualian cukai pendapatan sehingga RM4,000 selain daripada sumbangan kerajaan 15% atas amaun caruman anda. Malah, bantuan kematian sebanyak RM2,500 pun ada.
Kelayakan i-Saraan

i-Saraan boleh dibuat oleh sesiapa yang bekerja sendiri atau mempunyai pendapatan yang tidak tetap. Terdapat beberapa syarat yang perlu kita patuhi iaitu:
  1. Warganegara Malaysia
  2. Berumur 55 tahun ke bawah
  3. Ahli KWSP
  4. Telah mengisi borang i-Saraan
Cara Buat Caruman i-Saraan



Apabila sudah memastikan kelayakan untuk mencarum bersama i-Saraan., hanya dengan beberapa langkah mudah saja dah boleh mendaftar dan terus membuat caruman i-Saraan.

Pertama sekali, daftar i-Saraan dengan mengisi Borang i-Saraan Bayaran Sendiri. Untuk lebih mudah, boleh terus ke mana-mana cawangan KWSP untuk proses pendaftaran.

Cara Pembayaran Caruman i-Saraan

Caruman i-saraan boleh dibuat dengan 3 cara iaitu:

  • Walk-in dan bayar di kaunter cawangan KWSP
  • Bayar di kaunter ejen bank seperti Maybank, RHB dan Public Bank
  • Bayar melalui perbankan internet seperti Maybank dan Public Bank.
Mudah sahaja, kini kita juga boleh membuat simpanan hari tua seperti orang lain yang bergaji tetap. Walaupun bekerja sendiri, jangan lupa untuk membuat caruman wang simpanan melalui i-Saraan di KWSP!

Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP)

Post a Comment

0 Comments