Berita Semasa - Internet Percuma Setiap Hari Sebanyak 1GB Untuk Pelanggan Celcom, Digi, Maxis Dan Umobile Sepanjang PKP


Sejurus sahaja pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh Perdana Menteri Malaysia, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui satu kenyataan telah berkata bahawa antara pakej yang akan ditawarkan adalah internet percuma bernilai RM600 juta bermula pada 1 April 2020 sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.



Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan adalah semua pelanggan pascabayar dan prabayar daripada telco Celcom, Digi, Maxis, dan Umobile yang akan menerima perkhidmatan internet berkelajuan tinggi secara percuma dengan kapasiti sebanyak 1GB setiap hari. Perkhidmatan percuma ini boleh digunakan bermula pada jam 8 pagi hingga 6 petang bermula pada 1 April 2020 dan berkuatkuasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Inisiatif yang diberikan oleh pihak kerajaan ini juga akan membabitkan panggilan secara percuma ke talian pusat kesiapsiagaan dan tindak cepat krisis kebangsaan, pusat pengurusan operasi negara dan jabatan kesihatan negeri.

Pihak SKMM juga menyatakan bahawa syarikat telekomunikasi akan turut memberikan komitmen untuk melabur sebanyak RM400 juta sehingga suku kedua tahun ini bagi meningkatkan liputan dan keupayaan capaian rangkaian bagi mengekalkan kualiti capaian rangkaian.

Pelaburan ini akan meningkatkan liputan dan keupayaan capaian rangkaian untuk tapak kritikal seperti hospital, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat media. Dalam pada masa yang sama, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara akan terus dilaksanakan bagi menambah baik kesalinghubungan digital negara terutamanya di kawasan luar bandar. Sebanyak RM3 billion telahpun diperuntukkan oleh pihak kerajaan menerusi SKMM seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan pada 27 Februari 2020.

Dalam pada masa yang sama juga, agensi tersebut juga menyatakan bahawa perkhidmatan pos dan kurier komited untuk membantu para usahawan menjalankan perniagaan e-dagang selain daripada meneruskan perkhidmatan seperti biasa buat rakyat Malaysia.

Post a Comment

0 Comments