Berita Semasa - Garis Panduan Yang Perlu Diketahui Oleh Seorang Pekerja Sekiranya Dijangkiti COVID-19


Kalau korang nak tahu, majikan yang gagal dalam mematuhi garis panduan dalam pengendalian isu berhubung penularan COVID-19 di tempat kerja khususnya perkara yang melibatkan dengan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Kerja 1955 tau. Menurut Kementerian Sumber Manusia, garis panduan berhubung perintah kuarantin, pemberhentian kerja, kelayakan cuti dan pemeriksaan kesihatan dalam kalangan pekerja sepanjang penularan COVID-19 ini berlaku adalah mengikut seksyen 60F dan seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955.

Dalam satu kenyataan lain, pihak Kementerian Sumber Manusia menjelaskan bahawa berdasarkan kepada seksyen 60F, pihak majikan seharusnya perlu memberikan cuti sakit bergaji ataupun kelayakan hospitaliti sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan mempunyai simptom jangkitan COVID-19.

"Pekerja yang telah diberi arahan untuk melakukan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitaliti hendaklah diberikan kemudahan bayaran tambahan selain diarahkan segera untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan atas pembiayaan majikan. Tempoh kelayakan cuti sakit bergaji dalam setahun adalah selama 14 hari jika tempoh mereka bekerja kurang daripada dua tahun, 18 hari jika telah bekerja antara dua hingga ke lima tahun dan 22 hari jika tempoh bekerja telah melebih lima tahun. Sekiranya pihak majikan enggan memberikan cuti bergaji, maka ia adalah dianggap sebagai sebuah kesalahan." - Kementerian Sumber Manusia
 Pihak kementerian turut menegaskan bahawa pihak majikan juga tidak boleh melarang para pekerja untuk datang bekerja tanpa ada sebarang perintah kuarantin atau perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah yang telah dikeluarkan oleh pengamal perubatan yang berdaftar. Walaubagaimanapun, pihak majikan boleh mengarahkan mana-mana para pekerja yang tidak sihat untuk tidak hadir bekerja dan membenarkan cuti bergaji dibayar kepada pekerja tersebut.

Pihak majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan daripada berlakunya pemberhentian para pekerja akibat daripada COVID-19 ini seperti yang telah dicadangkan iaitu dengan mengehadkan  kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja dalam masa seminggu.

Selain itu, pihak majikan juga boleh mengurangkan waktu bekerja harian dengan melaksanakan pemberhentian kerja sementara misalnya dan dalam bentuk penutupan sementara tersebut pihak majikan boleh menawarkan gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehinggalah operasi dapat diteruskan semula.

Pihak kementerian juga meminta kepada para majikan agar merujuk garis panduan pengurusan pemberhentian pekerja yang boleh diperolehi di laman sesawang Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sekiranya perlu mengurangkan tenaga kerja akibat kemerosotan yang berlaku dalam perniagaan. Majikan dikehendaki untuk menggunakan Borang Pemberhentian (PK) bagi tujuan melapor pemberhentian kepada Jabatan Tenaga Kerja berhampiran sekurang-kurangnya 30 hari sebelum mengambil tindakan pemberhentian pekerja termasuk secara sukarela, sementara atau pengurangan gaji.

Kegagalan pihak majikan mengikut undang-undang berdasarkan akta berkenaan boleh dikenakan hukuman, termasuk denda dengan tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

Sekiranya pihak majikan gagal mematuhi segala garis panduan ini, sila laporkan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja berhampiran anda ataupun melalui talian 03-88865192.


Post a Comment

0 Comments